Melaka lancar aplikasi ‘Perjalananku’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 2 Mac. – Penduduk Melaka berpeluang memenangi cabutan bertuah RM1,000 dengan menyertai tinjauan secara atas talian melalui aplikasi mudah alih interaktif ‘PerjalananKu’.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, soal selidik itu bertujuan untuk memperkukuh perancangan pengangkutan mampan bagi negeri itu pada masa hadapan.

Beliau berkata, aplikasi ‘Perjalananku’ merupakan inisiatif Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka dengan kerjasama Program UK Global Future Cities dan boleh dimuat turun di Google Play Store atau App Store.

APLIKASI PerjalananKu menawarkan hadiah cabutan bertuah sebanyak RM1,000 serta pelbagai hadiah iringan buat penduduk Melaka yang menyertai tinjauan kaji selidik secara atas talian melalui aplikasi terbabit.

“Aplikasi Perjalananku akan merekodkan perjalanan isi rumah warga Melaka yang menyertainya menerusi soal selidik secara dalam talian selama seminggu bermula 21 Mac ini.

“Penyertaan dibuka untuk 3,000 penyertaan pertama bagi soal selidik berkaitan maklumat perjalanan dalam negeri.

“Responden dan ahli keluarga perlu melakukan perjalanan setiap hari seperti biasa dan ia akan direkodkan menerusi aplikasi berkenaan yang perlu diaktifkan sepanjang masa,” katanya pada sidang media pelancaran aplikasi ‘PerjalananKu’ di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad.

Idris berkata, Melaka dijadikan negeri peneraju selepas Iskandar Malaysia bagi Program UK Global Future Cities bagi menyokong dasar pembangunan bandar yang mampan untuk mencapai kesejahteraan inklusif.

“Inisiatif ini bagi menyokong hasrat kerajaan negeri untuk mengembangkan sistem pengangkutan berdasarkan data dan bukti bagi mengkaji tren perjalanan isi rumah rakyat di negeri ini.

“Perkara ini mampu menyumbang kepada perancangan pengangkutan masa depan Melaka untuk membantu kerajaan memahami keperluan perjalanan rakyat di negeri ini dan membolehkan kita merancang meningkatkan sistem mobiliti yang diperlukan untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata, selain cabutan bertuah RM1,000 menanti responden yang berjaya menyelesaikan semua aktiviti dalam soal selidik itu, hadiah lain turut disediakan iaitu RM100 buat 25 pemenang; RM20 (1,000 responden) dan RM10 (250 responden).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Lebih banyak sektor pelancongan dibenar operasi di negeri PKPP
Next post 400 individu ditahan inkar SOP di seluruh negara
Ubah saiz-+=