Melaka lancar aplikasi i-Cemas kurangkan kesesakan Hospital Melaka
SERI NEGERI 11 Julai – Sebuah aplikasi telefon pintar baharu yang dikenali sebagai i-Cemas akan dilancarkan pada hujung bulan depan atau awal September depan bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, aplikasi tersebut boleh dimuat turun oleh orang ramai khususnya pesakit untuk mendapatkan maklumat dan rujukan mengenai masalah kesihatan mereka.
Menurut beliau, melalui aplikasi tersebut juga, orang ramai boleh melihat data terkini jumlah pesakit yang masih menunggu rawatan di zon hijau, selain mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara langsung bersama paramedik bertugas.
“Contoh apabila seseorang itu sakit perut atau demam, aplikasi ini boleh tahu berapa ramai pesakit sama sedang mendapatkan rawatan dan berapa lama seseorang itu perlu menunggu untuk mendapatkan rawatan.
“Malah, aplikasi itu juga turut mempunyai ‘live chatbox’, di mana, pesakit boleh berinteraksi secara langsung bersama paramedik sebelum memberi nasihat mengenai tindakan seterusnya yang boleh dilakukan pesakit.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun oleh semua yang mana ia merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, selain aplikasi berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka turut melakukan beberapa penambahbaikan lain untuk mengatasi isu kesesakan di hospital utama negeri antaranya menurunkan doktor pakar ke klinik kesihatan di negeri ini, tanpa memerlukan pesakit datang ke Hospital Melaka.
“Seperti contoh, pesakit yang perlu ‘follow up’ rawatan berkaitan tangan boleh ke Klinik Kesihatan Ayer Keroh tanpa perlu dirujuk ke Hospital Melaka. Begitu juga dengan kepakaran ‘child development’ yang turut ditempatkan di klinik kesihatan.
“Pada masa sama, kita jugta telah memberi khidmat nasihat dan panduan kepada pesakit untuk datang janji temu pada waktu yang ditetapkan dan bukannya datang lebih awal sehingga menyebabkan kesesakan pada waktu pagi.
“Pusat pengambilan ubat secara pandu lalu juga telah diwujudkan sejak sekian lama untuk mengatasi isu kesesakan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.