Sorting by

×

Melaka laksana strategi kurangkan kesesakan jalan raya

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 12 Jan – Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah dalam usaha mengurangkan kesesakan di kawasan pelancongan Melaka, khususnya sewaktu hujung minggu dan cuti umum.

Exco Kerajaan Tempatan Datuk Zaidi Attan berkata, antara usaha yang dijalankan termasuklah mewujudkan teksi air atau turut dikenali sebagai ‘bot loncat-loncat.

Katanya, perkhidmatan bot loncat-loncat itu akan dilaksanakan secepat mungkin di sepanjang 8.5 kilometer sepanjang jajaran Sungai Melaka bagi membolehkan pelancong pergi ke kawasan pelancongan tanpa menggunakan kenderaan persendirian.

Selain itu, katanya, penggunaan sistem isyarat lampu berintegrasi juga telah dilaksanakan sebagai langkah mengatasi isu kesesakan.

“Selepas ini, tiada lagi lampu isyarat menggunakan pemasa (timer) untuk tempoh masa yang lama kerana ia telah ditukar kepada pengiraan jumlah kereta yang berintegrasi antara lampu isyarat.

“Maknanya, jika kenderaan tidak banyak, lampu isyarat akan bertukar lebih cepat dan jika kenderaan banyak, ia akan sedikit lambat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelekat Kenderaan Media Negeri Melaka Tahun 2022 di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini hari ini.

ZAIDI (dua dari kanan) menyerahkan pelekat kenderaan media di MPAG, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi yang juga Exco Perumahan dan Alam Sekitar berkata kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk membangunkan sistem penyuraian trafik menggunakan satelit.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, ada kewangan yang lebih baik kita akan cuba realisasikan sistem penyuraian trafik melalui sistem satelit.

“Ini antara yang kita fikirkan untuk pastikan rakyat dan pelancong ke melaka dapat perkhidmatan lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2209
Kongsi :
Previous post Thaipusam: Upacara Kavadi tidak dibenarkan
Next post Pastikan rumah di Melaka mampu milik, mampu jual – Exco
Ubah saiz-+=