Melaka laksana bicara kes penceraian secara tertutup
BUKIT PALAH 23 Jun – Perbicaraan kes melibatkan isu penceraian telah dijalankan secara tertutup di Mahkamah Syariah Negeri Melaka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, langkah itu bertujuan bagi menjaga kebajikan dan aib pihak terlibat dalam perbicaraan terbabit.
“Difahamkan di Perlis akan dilaksanakan bulan depan, tetapi kita Negeri Melaka sudah awal laksanakan.
“Sebenarnya dalam taklimat saya bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum ini juga disarankan untuk isu melibatkan penceraian dibicarakan secara tertutup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Minggu Dakwah (MINDA), Melestarikan Dakwah Insani, Membangun Ummah Madani di Auditorium Masjid Al Azim, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata kes tersebut sewajarnya dijalankan secara tertutup tanpa perlu dihadiri individu atau pihak lain yang tidak berkenaan.
Baru-baru ini media melaporkan Kerajaan Negeri Perlis telah membuat keputusan untuk melaksanakan perbicaraan tertutup di mahkamah syariah bermula bulan depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.