Sorting by

×

MELAKA LAKSANA 2 INSIATIF SEJAHTERAKAN MASYARAKAT ORANG ASLI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 23 Mac – Melaka memperkenalkan dua inisiatif dalam usaha memelihara kesejahteraan dan kemajuan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif pertama melibatkan perlindungan insurans kesihatan dan khairat kematian khas untuk Ahli Lembaga Adat Orang Asli.

Jelas beliau, inisiatif kedua pula adalah Bantuan Persekolahan Murid Orang Asli melibatkan seramai 700 pelajar dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dengan peruntukan sebanyak RM70,000.

“Perlindungan insurans kesihatan dan khairat kematian khas ini dijangka memberi manfaat kepada 93 pemimpin komuniti sekali gus memastikan kebajikan mereka lebih terjamin.

“Manakala, bantuan persekolahan pula bertujuan meringankan beban keluarga serta memastikan anak-anak Orang Asli mendapat pendidikan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Wacana Kepimpinan Orang Asli & Iftar Ramadan anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Sembilan dan Melaka (JAKOA) di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk V.P Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JAKOA Mohd Zamri Mustajap.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan bahawa usaha tersebut adalah sejajar dengan aspirasi untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera dan berdaya saing.

“Penekanan terhadap kebajikan, pendidikan, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan agar tiada golongan yang terpinggir atau tercicir dalam arus pembangunan.

“Usaha ini diharap dapat memastikan komuniti Orang Asli ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan mampu menikmati kemajuan secara seimbang dengan masyarakat lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post JABATAN PERUBATAN TRANSFUSI HOSPITAL MELAKA BERWAJAH BAHARU
Next post MELAKA PELIHARA WARISAN ORANG ASLI