
MELAKA LAKAR LEBIH 90 KEJAYAAN DALAM TEMPOH DUA TAHUN
AYER KEROH 18 Mac – Tanggal 31 Mac depan genap dua tahun Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diberi amanah dan kepercayaan untuk menerajui pentadbiran negeri Melaka sebagai Ketua Menteri ke-13.
Beliau memaklumkan, dalam tempoh itu, lebih 90 kejayaan telah berjaya dilakar dalam mencorak landskap pembangunan dan kemajuan Negeri Melaka.
Menurut beliau, antara pencapaian tersebut adalah mewajibkan Nyanyian Lagu Negaraku di semua pentadbiran kerajaan negeri sehingga ia menjadi contoh kepada kerajaan persekutuan.
Selain itu, jelas Ketua Menteri, Melaka juga menjadi perintis inisiatif Kampung Digital, selain menjadi negeri pertama mewujudkan inisiatif Paramedik Komuniti bagi memberi bantuan kecemasan awal di kampung-kampung dan tempat pelancongan.
“Antara kejayaan lain adalah mewujudkan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, inisiatif No Right Turn, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Gerbang Pantun, pemerkasaan sukan tradisional dam aji dan konda kondi, pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan pada waktu rehat dan Melaka Bila Larut Malam.
“Terkini… Melaka berjaya merekodkan kemasukan pelaburan berjumlah RM8.18 bilion pada tahun 2024. Nilai ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.2 bilion berbanding tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2025 di Grand Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, terdapat pelbagai lagi pencapaian yang telah dilakar sepanjang dua tahun, namun beliau tidak mahu ia terhenti di situ, sebaliknya kerjasama berterusan perlu digembeleng bersama untuk meraih lebih banyak kejayaan, khususnya dalam menyantuni kebajikan rakyat.
“Pastinya, kejayaan ini bukanlah kejayaan saya secara sendirian, malah ia dilakar
dengan usaha-usaha semua barisan kepimpinan kerajaan negeri meliputi semua penjawat awam dan entiti Government Link Company (GLC).
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh penjawat awam negeri Melaka, Persekutuan, GLC dengan kerjasama swasta, NGO serta lain-lain badan atas sokongan yang diberikan, khususnya kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan saya. Terima kasih semua!,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.