Sorting by

×

Melaka komited perkasa sejarah Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 30 April – Mengangkat dan menjaga sejarah Melaka menjadi agenda utama Kerajaan Negeri dalam proses pembangunan dan transformasi dilaksanakan.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata usaha itu selari dengan visi dan misi Kerajaan Negeri bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk melindungi tarikan pelancongan sejarah serta warisan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan memastikan pelaksanaan pelbagai program dan dasar pembangunan termasuklah memperkasakan sejarah Melaka.

“Penganjuran Forum 200 Tahun Perjanjian Inggeris-Belanda 1824: Impak Ke Atas Sejarah dan Geopolitik Nusantara ini juga selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam mengangkat sejarah di Melaka agar ianya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Program ini juga merupakan salah satu usaha untuk memperkasakan sejarah Melaka melalui melestarikan sejarah penulisan nama sekolah berasaskan tokoh-tokoh yang telah dilaksanakan Jabatan Pendidikan dengan kerjasama Institut Tun Perak (ITP).

“Semuanya ini diharapkan mampu memberikan manfaat kepada seluruh rakyat khususnya para pelajar yang menjadi modal insan berkualiti di negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Forum 200 Tahun Perjanjian Inggeris-Belanda 1824: Impak Ke Atas Sejarah dan Geopolitik Nusantara di Dewan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar ITP, Hazzlan Sama selain Kurator, Bahagian Pengurusan dan Sumber ManusiaPerzim, Syahida Abu Sah.

Whatsapp Image 2024 04 30 At 12.59.58 Pm (1)
ANTARA peserta Forum 200 Tahun Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 serta Impak ke atas sejarah dan Geopolitik Nusantara.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata Kerajaan Negeri melalui agensi negeri sangat aktif dalam mengangkat sejarah bumi bertuah Melaka.

Jelas beliau antara usaha dilaksanakan adalah dengan mengiktiraf tanggal 20 Februari sebagai cuti umum Melaka bersempena tarikh keramat Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di negeri ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Melaka kini melalui ITP, PERZIM dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) serta pakar-pakar sejarah dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia sedang aktif menjalankan kajian bagi memperkukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah melalui sumber-sumber baharu.

“Hang Tuah yang merupakan pahlawan agung Nusantara yang berkhidmat dibawah Kesultanan Melayu Melaka terdahulu. Insya-Allah satu pameran berkenaan Hang Tuah akan diadakan pada Jun 2024. Jelaslah bahawa Kerajaan Negeri Melaka sangat komited dalam memperkasakan lagi sejarah Negeri Melaka tercinta ini.

“Tanggal 17 Mac 2024 yang lalu telah genap 200 tahun semenjak Perjanjian Inggeris-Belanda ditandatangani di London. Perjanjian ini, bukan sekadar perjanjian biasa tetapi merupakan satu perjanjian yang telah memecahkan ‘Alam Melayu’ kepada Malaysia, Singapura dan Indonesia pada hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

186
Kongsi :
Previous post Raya satu dekad bersama Konica Minolta
Next post Lega, suami terima sumbangan katil
Ubah saiz-+=