
MELAKA KOMITED PASTIKAN SETIAP RAKYAT YANG LAYAK DIBANTU
ALOR GAJAH 17 Mac – Agihan sumbangan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri disalurkan kepada mereka yang layak tanpa mengira mengira perbezaan latar belakang atau fahaman politik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri menegaskan, besar harapan beliau agar sumbangan disampaikan dapat melunaskan hasrat Kerajaan Negeri dalam menyampaikan amanah kepada rakyat selain mendokong aspirasi terhadap inisiatif mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, berikutan itu Kerajaan Negeri optimis memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa Melayu, Cina atau India diberi perhatian sama rata untuk menerima bantuan sewajarnya seperti yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.
“Hakikatnya, kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengambil kira latar belakang kaum, agama atau tempat tinggal,
“Kali ini Kerajaan Negeri berbesar hati meraikan seramai 150 orang penerima dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Gadek, Durian Tunggal dan juga Asahan, bagi menerima sumbangan Bantuan Ramadan keseluruhannya berjumlah RM15,000 berserta kit Ramadan.
“Pada masa yang sama, dipanjangkan juga penyampaian sumbangan ‘One-Off’ menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM456,650 kepada 33 buah masjid dan 103 surau kariah dalam Parlimen Alor Gajah,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan Dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat Parlimen Alor Gajah di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, merangkap Adun Asahan dan Penyelaras DUN Rembia serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam merangkap Adun Gadek.
Turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem merangkap Adun Machap Jaya; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil merangkap Adun Durian Tunggal; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah dan Tanah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, bantuan disalurkan merangkumi sumbangan Ihya’ Ramadan, utiliti masjid dan surau, Ahli jawatankuasa masjid, pengurusan jenazah wanita dan penggali kubur.
“Tidak ketinggalan, Imam, Bilal dan Noja daripada 33 masjid di Parlimen Alor Gajah juga akan menerima sumbangan One-Off RM500 setiap seorang, iaitu keseluruhan berjumlah RM68,000 menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan yang akan disalurkan ke akaun masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.