Sorting by

×

MELAKA KOMITED MENCORAK PEMIMPIN MUDA BERWIBAWA

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG  BIDARA 27 April – Melahirkan lebih ramai pemimpin muda berwibawa dan kaya dengan pelbagai idea segar yang mampu memberikan manfaat kepada orang ramai serta pembangunan Melaka antara agenda diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehubungan itu penganjuran Program seperti Kem A-Plus YPM amat bertepatan dengan  manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan ruang pembentukan kepimpinan menyeluruh buat anak-anak muda Melaka.

Katanya program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Jelajah Pendidikan kini diperluas dengan pendekatan lebih strategik bagi memperkukuh jati diri, mengasah kemahiran memimpin dan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peranan besar mereka sebagai pemimpin muda masa hadapan.

“Memetik kata-kata tokoh agung Islam, Imam Al-Ghazali, untuk menggambarkan rupa bentuk sesebuah negara pada masa hadapan, maka lihatlah anak-anak mudanya pada hari ini.

“Kata-kata ini jelas menunjukkan masa depan sesebuah negara bergantung kepada generasi mudanya. Jika hari ini kita membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berwawasan, insya-Allah negara ini akan dipimpin oleh barisan kepimpinan yang cemerlang,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Kem A-Plus YPM di Villa D’Acqua Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada Majlis itu Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, merangkap Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor, Pengarah MARA Negeri Melaka, Nurul Azmi Johari dan Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.

Terdahulu program tiga hari dua malam itu melibatkan 200 anak muda yang terdiri daripada 100 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kini bergelar Skuad YPM serta 100 calon SPM dari sekolah sekitar daerah Alor Gajah.

Ab  Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik dan menyokong penuh pelaksanaan program seumpama ini kerana ia mampu menyemai benih kepimpinan dalam kalangan pelajar yang bakal mencorakkan masa depan negeri dan negara.

“Saya amat teruja dan berbangga kerana kali ini saya dapat berinteraksi secara langsung bersama bakal pemimpin dari Daerah Alor Gajah.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada barisan jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan
program ini dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post ‘BUKAN RAYA BIASA’
Next post BUKTIKAN ANDA JUGA BOLEH BERJAYA – AB RAUF