
MELAKA KOMITED LAHIRKAN BELIA BERANI, BIJAKSANA, BERPANDANGAN GLOBAL
SERI NEGERI 18 April – Belia diminta untuk memainkan peranan lebih aktif dengan bersama-sama menyumbangkan idea dalam membantu pembangunan Negeri Melaka, Kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, sebagai bukti komitmen kerajaan Negeri, sebanyak 112 program pembangunan belia telah diluluskan sepanjang tahun 2024 dengan jumlah peruntukan melebihi RM300,000
Sementara itu katanya, bagi 2025 pula hampir RM600,000 diperuntukkan untuk memperkasa belia, merangkumi latihan kepimpinan, pendedahan politik dan advokasi komuniti.
“Semua ini membuktikan bahawa pembangunan belia bukanlah perkara sampingan, ia adalah keutamaan dan pelaburan strategik untuk negeri ini dalam melahirkan pemimpin yang berani, bijaksana serta berpandangan global.
“Sehubungan itu Kerajaan negeri akan terus menyediakan sokongan, prasarana dan bimbingan yang diperlukan agar inisiatif belia dapat dijayakan dengan impak yang besar dan hasil yang berpanjangan,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Speaker dan Ahli Dewan Belia Negeri Melaka Sesi 2024/2026 di Dewan Tun Mutahir, Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Yang Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Nytheen Kunju Basheer, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.
Pada majlis sama Ab Rauf turut menyampaikan watikah pelantikan sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Melaka kepada Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Turut menerima watikan adalah 33 Ahli Dewan Belia Negeri Melaka melibatkan wakil semua 28 DUN dan lima ahli lantikan Ketua Menteri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.