Melaka komited bangunkan masyarakat luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 6 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka komited untuk memperkasa masyarakat luar bandar menerusi pelbagai program berteraskan bina insan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjuran Festival Kesenian Islam (FKI), misalnya, menjadi antara program yang telah dirangka bagi memberi suntikan semangat baharu kepada komuniti di kampung-kampung untuk menjadi insan berjaya.

Menurut beliau, festival anjuran KEMAS dengan kerjasama Menara Taming Sari Berhad itu juga menjadi antara pengisian kerohanian sempena kedatangan tahun baharu 1446 Hijriah.

“Pelbagai program telah dianjurkan antaranya pertandingan nasyid, pertandingan daie, tilawah al-quran serta selawat sepanjang dua hari festival ini diadakan.

“Disamping itu, KEMAS turut membawakan usahawan-usahawan mereka yang berjaya untuk memberi suntikan semangat dan resipi kejayaan mereka kepada masyarakat luar bandar di negeri ini.

“Program melibatkan penduduk luar bandar ini amat bagus kerana KEMAS semenangnya menyasarkan penglibatan peserta luar bandar yang sudah dilatih dan digilap dan seterusnya akan dibawa ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Kesenian Islam (FKI) Anjuran KEMAS Negeri Melaka Tahun 2024 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia Zairuddin Mat Zuini; Pengarah KEMAS Negeri Melaka Asri Saleh; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad Nasrul Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Pada majlis penutup itu, Dr. Muhamad Akmal turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan nasyid, daie dan tilawah al-Quran yang diadakan.

Bagi pertandingan nasyid, johan menjadi milik kumpulan Till Jannah dari Parlimen Masjid Tanah yang membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000 berserta sijil penyertaan.

Manakala pertandingan daie pula dimenangi Muhammad Aiman Ahmad Hizad (Parlimen Alor Gajah) bagi kategori lelaki dan Hazirah Isa (Parlimen Hang Tuah Jaya) bagi kategori wanita, sekali gus membawa pulang RM600 dan sijil penyertaan.

Sementara, Amir Anuar Ab Azis (Parlimen Jasin) dan Siti Hajar Rumainor (Parlimen Hang Tuah Jaya) masing-masing dinobat johan lelaki dan wanita bagi Tilawah al-Quran yang juga membawa pulang RM600 berserta sijil penyertaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post Liga Melaka sedia pemain bola sepak masa depan
Next post 50,000 banjiri sambutan Maal Hijrah Melaka
Ubah saiz-+=