
MELAKA KENAL PASTI PEMANDU ‘BAS PINK’ BERMASALAH
AYER LIMAU 30 Mac – Enggan insiden pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), BAS.MY yang didakwa memandu secara berbahaya dan kerap melanggar peraturan jalan raya berterusan, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan sedang mengenal pasti pemandu yang dikatakan bermasalah.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, aduan dan laporan berhubung tindakan pemandu bas terbabit sudah dalam pengetahuan pihaknya.
“Untuk BAS.MY ini kita sedang mengenal pasti pemandu-pemandu yang didakwa bermasalah ini. Kebelakangan ini kerap sangat berlaku kemalangan.
“Untuk itu selepas raya ini kita akan mengadakan perjumpaan khas bersama pemandu-pemandu ini. Jika didapati berulang kali (berlaku kemalangan) kita akan menasihati mereka untuk berhenti.
“Ia tidak boleh hanya memberi amaran keras sahaja kerana ini membabitkan keselamatan dan nyawa bukan sahaja penumpang tetapi pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Poghut Ayer Limau, kelmarin.
Menurut Hameed, tindakan segelintir pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan berhenti mengikut hentian yang ditetapkan pihak syarikat juga menimbulkan kebimbingan khususnya dalam kalangan penumpang.
“Kita juga sedang mengenal pasti punca dan sebab mengapa hal ini berlaku kerana kesemua kira-kira 60 pemandu BAS.MY ini melepasi tapisan yang dibuat sebelum diambil bekerja malah ketika awal proses pemilihan juga semakan latar belakang turut dilakukan.
“Malah semakan dilakukan juga mendapati mereka ini bebas daripada penyalahgunaan dadah dan rekod saman juga baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.