Melaka kenal pasti 6 lokasi parkir bertingkat
SERI NEGERI 11 Julai – Kerajaan Negeri mengenal pasti enam lokasi bagi pembinaan kemudahan parkir bertingkat jenis mekanikal berhampiran Banda Hilir.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, parkir bertingkat itu akan dibangunkan bagi menampung kawasan parkir sedia ada iaitu sebanyak 5,128 unit di sekitar Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.
Jelasnya, parkir mekanikal dengan rekaan teknologi Jepun dan Eropah mampu mengatasi isu kekurangan parkir terutama pada waktu puncak di kawasan tersebut.
“Setakat ini Kerajaan Negeri sedang menilai cadangan pembinaannya daripada beberapa syarikat terlibat dan telah mengenal pasti enam lokasi di sekitar Banda Hilir akan dilengkapi dengan inisiatif ini.
“Antara lokasi yang dicadangkan adalah membina parking empat tingkat jenis mekanikal di hadapan bangunan Tabung Haji di Jalan Banda Kaba, dua lokasi di Taman Kota Laksamana, selain di Jalan Kampung Hulu, Taman Larangan (hadapan Muzium Istana) dan Jalan Melaka Raya 12.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan berusaha merealisasikan hasrat ini bagi menambah bilangan parkir sedia ada dan ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.