MELAKA KEKALKAN INISIATIF BAJET LEBIHAN 2025
SERI NEGERI 27 Disember – Kerajaan Negeri, hari ini, membentangkan Bajet 2025 dengan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM497.7 juta dengan anggaran hasil berjumlah RM498 juta, sekali gus mengekalkan inisiatif bajet lebihan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perbelanjaan mengurus itu merangkumi RM15.9 juta bagi Maksud Tanggungan dan RM481.9 juta bagi Maksud Bekalan.
Sementara itu, Perbelanjaan Pembangunan pula diunjur berjumlah RM88 juta merangkumi RM57.1 juta daripada sumber Hasil Negeri; RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP); RM2.5 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.
Manakala, anggaran hasil Kerajaan Negeri pula adalah menerusi Hasil Cukai berjumlah RM177.3 juta; Hasil Bukan Cukai RM279.7 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM41 juta.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, tema Bajet 2025 Negeri Melaka adalah ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang’ yang berfokus kepada tiga agenda utama.
Jelas beliau, tiga agenda itu adalah Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing; Kepedulian Masyarakat dan Transformasi Modal Insan Berkualiti serta Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti.
Tambah beliau, Bajet 2025 itu akan dilaksanakan secara komprehensif melalui 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio Exco dan satu tumpuan khusus melibatkan perkhidmatan awam.
“Pastinya, Bajet 2025 ini bersifat komprehensif merangkumi pelbagai perancangan pembangunan berstruktur untuk kemakmuran bersama, termasuk bantuan kebajikan, dan program-program inklusif bersesuaian keperluan setiap golongan masyarakat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.