Melaka kekal status negeri tawar harga rumah terendah
BANDARAYA MELAKA 17 Februari – Harga rumah di Melaka kekal terendah dalam negara berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Ia selepas negeri ini merekodkan harga rumah pada purata RM207,600 berbanding RM458,751 di peringkat nasional hingga suku ketiga tahun lepas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ini sekali gus menunjukkan peratusan pemilikan rumah di negeri ini sebanyak 84.5 peratus, lebih tinggi daripada peratus pemilikan rumah di peringkat nasional iaitu 76.5 peratus.
“Pencapaian ini dipengaruhi oleh dasar perumahan kerajaan negeri yang menetapkan setiap pembangunan perumahan melebihi 10 ekar (kira-kira 4 hektar) perlu membina sekurang-kurangnya 50 peratus komponen rumah mampu milik (RMM).
“Komponen RMM berkenaan meliputi rumah kos rendah pada harga RM70,000, rumah kos sederhana rendah (RM120,000), RMM Impian A tidak melebihi RM180,000 dan RMM B tidak melebihi RM250,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Ekspo Rumah Mampu Milik Melaka 2024, di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Husam Musa dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) TPr. Datuk Murad Husin.
Menurut Rais, sehingga 31 Dis lepas juga, LPM merekodkan pembangunan sebanyak 48,966 RMM di seluruh negeri dengan kerjasama pemaju swasta dan kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2020.
“Berdasarkan jumlah itu, sebanyak 36,898 RMM telah dibangunkan agensi kerajaan negeri dan pihak swasta, manakala 12,068 RMM pula dibangunkan agensi kerajaan Persekutuan seperti Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), SPNB, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).
“Bukan itu sahaja, daripada jumlah tersebut sebanyak 12,464 RMM siap dibina manakala 18,509 RMM sedang dalam pembinaan dan 17,993 RMM telah mendapat kelulusan serta dalam peringkat perancangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.