Melaka kekal rekod 100 peratus calon lulus UPKK
BUKIT KATIL 9 Mac – Melaka mengekalkan rekod 100 peratus calon Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) lulus semua mata pelajaran untuk tahun ke-12 berturut-turut.
Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, bagi tahun 2022, seramai 1,050 calon mencatat keputusan 8A daripada keseluruhan 8,143 murid dari 201 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) di negeri ini, dengan Gred Purata Negeri (GPN) 1.87.
Katanya, meskipun bilangan mendapat semua A dan peratusan gred purata menurun, namun ia tidak dianggap satu kegagalan memandangkan prestasi sama berlaku hampir di seluruh negara akibat kelemahan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Perkara ini (penurunan gred) berlaku akibat daripada kelemahan PdPR semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan penguasaan murid terhadap sukatan pelajaran tahun 3 dan 4 berada pada tahap minimum.
“Difahamkan daripada lapan mata pelajaran, ada subjek yang bukan sepenuhnya menggunakan buku tapi ada juga latihan amali yang perlu dilaksanakan seperti latihan amali solat, bacaan al-Quran dan sebagainya.
“Jadi saya lihat peranan guru dimainkan begitu penting di dalam kelas dan kita harap kepada para guru di negeri ini tidak berputus asa,” katanya pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan UPKK Negeri Melaka Tahun 2022 di sebuah pusat konvensyen di Bukit Katil, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat.
Mengulas lanjut, Rais berkata, walaupun berlaku penurunan GPN dan bilangan calon mendapat semua A, namun berlaku peningkatan calon memperoleh keputusan 1A, 2A dan 3A di negeri ini.
Malah ujarnya, kerajaan negeri akan berusaha bagi memastikan rekod penilaian peperiksaan itu bagi tahun akan datang akan terus diperkasakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.