Sorting by

×

Melaka kekal laksana tempoh percubaan Zon Bebas Kenderaan, Julai ini

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 15 Jun – Kerajaan Negeri tetap akan melaksanakan tempoh percubaan bagi cadangan kajian Zon Bebas Kenderaan di Bandar Hilir bermula Julai ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan itu tidak akan sesekali meminggirkan peniaga, penjaja dan pemain industri pelancongan di kawasan tersebut kerana cadangan dan pandangan mereka juga akan diambil kira selepas tempoh percubaan itu.

“Sebab itu kita perlukan tempoh percubaan dahulu dan melakukan kajian lebih terperinci sama ada boleh dilaksanakan terus atau tidak.

“Dan pelaksanaan tempoh percubaan yang sepatutnya dilakukan pada bulan Jun ditunda untuk dilakukan pada bulan Julai.

“Kita juga akan mengambil kira sudut pandang pemain industri pelancongan termasuk peniaga, penjaja dan sebagainya di mana pelaksanaan ini (sekiranya berjaya) ia mampu memberi nilai tambah kepada mereka juga,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Mingguan di Bilik Mesyuarat Tun Bija Sura, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Badaruddin Mohd Kassim; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Datuk Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata dengan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan pada setiap hujung minggu itu juga dapat menjadikan kawasan itu lebih mesra pelancong.

“Kajian teliti sedang dibuat, ia termasuklah kajian simulasi untuk melihat jalan raya di kawasan pelancongan bermula di hadapan bangunan Public Bank ke Stadthuys menyusuri Dataran Pahlawan hingga ke kawasan McDonalds akan menjadi lokasi ‘car free zone’.

“Dengan pelaksanaan ini, peniaga, penjaja dan pemain industri lain akan menerima pelanggan baharu. Kerana di kawasan tersebut orang ramai bebas bergerak membeli belah, ia akan menjadi ‘eco friendly’ sekali gus pengunjung dapat menikmati percutian hujung minggu berkualiti di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1943
Kongsi :
Previous post Melaka anjur Pertandingan Berbalas Pantun Warisan libat pelajar sekolah
Next post Battle Of The Bands Tentera Darat meriahkan Melaka Agrofest 2023
Ubah saiz-+=