MELAKA KEKAL ‘JUARA’ HARGA RUMAH TERENDAH

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 September – Melaka masih mengekalkan status sebagai negeri yang menawarkan harga rumah terendah di Malaysia iaitu pada harga purata RM233,255.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, status itu hasil laporan daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sehingga suku kedua 2024.

Malah, menurut beliau, bilangan rumah tidak terjual di Melaka juga amat rendah iaitu hanya membabitkan 514 unit, berbanding negeri-negeri lain yang mencatat purata lebih 2,900 unit rumah tidak terjual.

“Berkait itu, Kerajaan Negeri Melaka akan sentiasa memantau agar kadar harga rumah di negeri ini kekal relevan dan mampu milik walaupun semua pihak sedia maklum dengan kenaikan kos bahan mentah terutamanya dalam sektor pembinaan sekali gus memastikan rumah tidak terjual di negeri dapat diminimumkan.

“Pada masa sama, Melaka optimis menyasarkan peratus pemilikan rumah di negeri ini untuk terus meningkat sehingga 88 peratus menjelang tahun 2030, di mana sekurang-kurangnya sebanyak 4,191 unit rumah yang perlu dibina dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sebuah kondominium baharu di Kota Syahbandar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Abdul Aziz Engan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong dan lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor hartanah di samping menjayakan pembangunan berimpak tinggi demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri serta rakyat.

Sehubungan itu, beliau amat menggalakkan para pemaju hartanah untuk menawarkan lebih banyak projek yang berkualiti untuk memenuhi unit-unit kediaman di Bandaraya Melaka yang dijangka akan meningkat seiring dengan jumlah pengunjung yang kini mencecah lebih 10 juta, setakat Ogos 2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

641
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU PESAKIT KANSER
Next post LALUAN UDARA, LAUT DI MELAKA ‘SIBUK’ BERMULA OKTOBER
Ubah saiz-+=