Sorting by

×

Melaka kekal dengan Kerajaan Negeri sedia ada – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT BARU 24 November – Melaka akan kekal dengan Kerajaan Negeri sedia ada memandangkan keputusan itu telah dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN), November tahun lalu.

Itu kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika ditanya sama ada akan membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun akan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas ia dibentuk susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Kita tidak akan membentuk Kerajaan Perpaduan (di Melaka) kerana kita telah bertanding pada PRN yang terdahulu, kita bertanding dan kita menang, sekarang ini adalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan ia berbeza.

“Jadi ia terpakai untuk peringkat Persekutuan, negeri tidak terpakai dan tiada isu kepada negeri kita, negeri kita ‘remain’ (kekal) selepas menang 21 (kerusi) Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

“Jadi ini (Kerajaan Perpaduan) hanya terpakai kepada negeri seperti Perak dan mungkin Pahang juga, tetapi Melaka tidak sebab kita membuat PRN lebih awal. Jadi ia tidak terpakai seperti mana di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Durian Daun, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik.

Sulaiman juga berkata, Melaka bersedia memberikan kerjasama yang baik dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selepas ia dibentuk memandangkan Barisan Nasional (BN) turut terangkum dan terlibat sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3675
Kongsi :
Previous post Angkat sumpah PM: Penyokong parti dinasihat patuhi undang-undang, tidak cetus provokasi
Next post Sulaiman titip pesanan kepada anak Sekolah Tunas Bakti
Ubah saiz-+=