Melaka ke arah ‘warga digital’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

LENDU 14 Disember – Melaka disasarkan bakal ke arah warga digital atau ‘digital citizen’ dalam tempoh tiga tahun lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, sasaran itu diletakkan menerusi inisiatif Celik Digital yang sedang dibangunkan Kerajaan Negeri dalam memastikan semua masyarakat mendapat manfaat menerusi agenda digitalisasi.

Jelas Ketua Menteri, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah Kampung Digital yang bertujuan menambah baik sistem penyampaian maklumat daripada kerajaan kepada rakyat selain mengubah gaya hidup masyarakat serta memudahkan interaksi dengan kerajaan.

“Kawasan Masjid Tanah, Jasin dan Tangga Batu akan menjadi kawasan kampung perintis untuk mendapat nikmat Kampung Digital seterusnya dalam tempoh tiga tahun lagi akan ada ‘digital citizen’ dengan keseluruhan semua rakyat Melaka akan menikmati sistem pendigitalan bukan sahaja dalam perkhidmatan awam malah kepada masyarakat.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberikan setiap satu isi rumah dibekalkan dengan satu emel menerusi domain alamat @melaka.my.

“Pemimpin masyarakat termasuk Pengerusi JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), Pengerusi Masjid, Sidang dan Ketua Kampung turut akan diberikan alamat emel menggunakan domain @melaka.my ini secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka Parlimen Masjid Tanah 2023 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, alamat emel ini turut dimanfaatkan kepada golongan pendidik dan pelajar di seluruh Melaka bagi memastikan kaedah pembelajaran secara digital diguna pakai dalam pendidikan.

Selain itu, jelas beliau, murid sekolah berusia 12 tahun dan ke atas diwajibkan mengambil alamat emel tersebut untuk berhubung terus dalam kaedah pembelajaran digital.

“Oleh itu bersedialah rakyat Melaka untuk menghadapi perubahan dalam satu agenda di bawah Kerajaan Negeri diterajui oleh saya untuk mendigitalkan negeri.

“Ia kerana Melaka adalah negeri pertama yang mendapat perlindungan harta intelek (IP), maksudnya dalam Malaysia mana-mana negeri yang mahu membuka Kampung Digital perlu merujuk kepada Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

842
Kongsi :
Previous post TMM2024: 8 pintu masuk ke Melaka akan diceriakan
Next post Tower Hunt: Jelajah dua menara ikonik promosi TMM2024
Ubah saiz-+=