MELAKA KE ARAH BANDARAYA WARISAN DUNIA CANGGIH, PINTAR MENJELANG 2035

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 11 Oktober – Melaka bakal ditransformasi menjadi sebuah bandaraya warisan dunia serba canggih dan pintar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri memaklumkan, itu merupakan antara misi pentadbiran beliau menjelang tahun 2035.

Bagi merealisasikan hasrat dan misi tersebut, Ketua Menteri berkata, pelbagai inisiatif dalam bidang digital telah diperkenalkan, antaranya Kampung Digital, Cashless Melaka, Smart Parking Melaka dan beberapa lagi produk baharu yang akan diperkenalkan.

“Selain itu, kita juga telah memperkenalkan saluran Telegram MyMelaka News yang menjadi medium hebahan segala maklumat berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, Sistem Rakyat Melaka juga diperkenalkan bagi membolehkan rakyat menebus tiket percuma di produk pelancongan terpilih, selain bakal melancarkan emel khas dengan domain @melaka.my yang menjadi platform untuk rakyat memberikan apa jua cadangan, komen atau pandangan untuk penambahbaikan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Sudah pasti, kita akan terus memperhebatkan lagi promosi dalam usaha memperkenalkan dunia digital ini kepada rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Smart Melaka International Conference and Exhibition 2024 (SMIX 2024) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut melancarkan Cashless Melaka yang dikenali sebagai Melakaku Tanpa Tunai serta MCMC Microsoft AI TEACH Programs yang bakal mendedahkan ilmu kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada 500 peserta di negeri ini.

Ketua Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara MICTH dan Maxis dalam menambah baik sambungan digital di negeri ini, selain projek usahasama di antara TM One dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) membangunkan ‘Local Urban Observatory (LUO) Smar Solution’, iaitu platform memantau dan menilai pembangunan bandar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post PERTANDINGAN ROBOTIK GILAP MINAT PELAJAR DALAM STEM
Next post MELAKAKU TANPA TUNAI DILANCARKAN
Ubah saiz-+=