Melaka kaji keperluan satu PBT, satu ‘doktor pokok’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

MERLIMAU 30 Mei – Kerajaan Negeri sedia menyahut saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai doktor pokok atau arboris.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, saranan tersebut disifatkan amat baik, namun pihaknya akan melihat dan menilai dari sudut pelaksanaan serta keperluan PBT di negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini kesemua empat PBT di negeri ini mempunyai Jabatan Landskap dan telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, cantasan serta pemotongan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita di Melaka mempunyai empat PBT yang mana semua PBT ini mempunyai Jabatan Landskap sendiri, namun kita akan menilai dan melihat sendiri keperluan untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu doktor pokok di setiap PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Keusahawanan Kecil Perkhidmatan Logistik di Kilang Xinyi Glass Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Lim Ban Hong; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Melaka; Jaibalan Harirajan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Xinyi; Tan Sri Gary Tung.

Turut hadir, Pengarah Urusan Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd; Datuk Sin Ket Hin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mohd Shaiful Hizam Johan; Pengurus Perancangan Perindustrian MCORP, Hairulzamani Othman.

Dalam pada itu, Rais turut memaklumkan pihaknya akan menyelesaikan isu birokrasi untuk PBT menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok yang berada di tanah persendirian namun mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Jabatan Landskap di setiap PBT semua mempunyai isu ini, di mana mereka ini menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan perlu mengikut SOP yang ditetapkan, namun ada isu yang tidak dapat dielakkan seperti pokok-pokok besar dan berbahaya itu berada dalam kawasan persendirian.

“Kita akan selesaikan birokrasi yang ada ini secepat mungkin kerana ia melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah serta pelbagai agensi lain hanya untuk mencantas pokok yang bukan dalam kawasan jajahan pentadbiran PBT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

119
Kongsi :
Previous post 50 usahawan Melaka dipilih jana ekonomi logistik
Next post Kastam Melaka tumpaskan penyeludupan minuman keras, rokok hampir RM12.8 juta
Ubah saiz-+=