Sorting by

×

Melaka kaji 9 lokasi jalan sesak, laksana ‘no right turn’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Mei – Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan satu kaedah baharu bagi mengatasi kesesakan trafik menerusi kajian pelaksanaan ‘no right turn’.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kajian tersebut bakal dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan sembilan lokasi panas yang telah dikenal pasti.

Menurut beliau, pihaknya sendiri bakal turun ke lapangan pada waktu sesuai bagi meninjau keberkesanaan ‘no right turn’ di beberapa persimpangan sebelum ia dilaksanakan kelak.

“Kaedah ‘no right turn’ ini akan dilaksana membabitkan beberapa susur keluar di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) membabitkan lokasi yang sering berlaku kesesakan.

“Insya-Allah, isu kesesakan membabitkan beberapa titik panas (hotspot) ini akan kita kaji secara terperinci bagi memastikan pengguna jalan raya sampai ke destinasi pada waktu yang dirancang,” katanya.

Menurut beliau, selain kaedah ‘no right turn’, Kerajaan Negeri juga bakal memperkenalkan zon bebas kenderaan atau ‘car free zone’ membabitkan lokasi tarikan pelancongan sejauh tiga kilometer (km) di Banda Hilir.

Jelas beliau, pelaksanaan zon bebas kenderaan itu bakal dilaksanakan seawal Julai ini membabitkan hari Jumaat bermula jam 5 petang hingga Ahad pada waktu yang sama.

“Kawasan sejauh 3km ini membabitkan kawasan gereja di Stadthuys hingga ke Jonker Street dan di depan Hotel Hatten. Ia akan dijalankan secara berperingkat bagi menilai keberkesanannya.

“Saya berharap, penutupan jalan ini akan memberi pulangan ekonomi bukan sahaja kepada penjaja di kawasan itu, bahkan juga pengayuh beca dan pengendali kenderaan e-mobiliti seperti skuter elektrik dan sebagainya sebagai hasrat menjadikan Melaka negeri bebas karbon,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4560
Kongsi :
Previous post Pembenihan awan jika benar-benar perlu
Next post Norshafiqha sertai skuad kebangsaan, idam kemenangan Piala Remaja Asia
Ubah saiz-+=