Sorting by

×

Melaka ‘juara’ tahun melawat negeri 2024

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PANTAI KUNDOR 11 Mei – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal dijadikan kayu pengukur untuk kejayaan Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, perkara itu diputuskan selepas melihat kejayaan Melaka dalam menarik kehadiran pelancong pada setiap bulan.

Malah, beliau turut menyifatkan Melaka berada di barisan hadapan dalam penganjuran tahun melawat negeri 2024.

“Bagi saya Melaka lebih ke depan berbanding negeri-negeri lain selepas melihat rakyat Melaka setiap bulan bermula Januari hingga sekarang turut bersama mengambil bahagian dalam penganjuran dan mempromosikan TMM2024.

“Saya rasa dari segi hendak menandingi Melaka, negeri ini terus di depan, saya tak nak beritahu banyak (kerana) nanti orang marah namun suka untuk dijelaskan, MOTAC banyak memberi bantuan di Melaka disebabkan negeri ini sangat aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Sambutan Kapal Layar Tradisional China Terbesar Di Dunia ‘Fu Ning’ Ke Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, pelbagai program akan dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka apabila turut dipilih menjadi tuan rumah sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Katanya, sambutan itu bakal merancakkan lagi TMM2024, selain mengimbau sejarah hubungan perdagangan yang terjalin sekian lama.

“Malah kapal layar Fu Ning ini juga adalah satu daripada yang kita akan paparkan untuk bukan saja buat penduduk di Melaka tetapi rakyat Malaysia. Ia adalah simbolik kepada hubungan diplomatik antara dua negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post Pameran aset Sultan Ibrahim antara tarikan Melaka Bike Week 2024 Jun depan
Next post MOT tidak benarkan e-hailing guna sistem ‘bida harga’
Ubah saiz-+=