Melaka ‘juara’ pemberian vaksin – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Pembukaan sektor ekonomi di Melaka yang kembali rancak selepas pandemik COVID-19 bukti kejayaan dan keberkesanan suntikan vaksin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Melaka menjadi negeri yang amat berjaya dalam pemberian suntikan vaksin termasuklah menjadi negeri teratas daripada 14 negeri dalam pemberian suntikan dos penggalak.

Beliau berkata, selain aktiviti ekonomi yang kembali rancak, kadar kematian di negeri ini juga direkodkan sifar sejak dua bulan lalu.

“Melaka menjadi negeri yang sangat berjaya dalam pemberian vaksin, dari segi booster (dos penggalak) Melaka nombor satu di Malaysia jauh melepasi negeri lain dengan 86 peratus dan ini kadar yang sangat tinggi manakala PICKids (Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak) berada nombor dua di belakang Sarawak.

“Kesan daripada vaksinasi yang tinggi di Melaka hanya ada dua pesakit sahaja di ICU, selain dalam dua bulan lepas, kematian dilaporkan adalah kosong.

“Maknanya vaksin ini berkesan dengan kadar kematian kebanyakan hari adalah kosong dan ini adalah kejayaan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS) dan Sambutan Hari Denggi Asean serta Gotong-Royong Mega 1.0 ‘Perangi Aedes’ Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama EXCO Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr Rusdi Abd Rahman.

Menurut beliau, pemberian vaksin yang tinggi juga berjaya mengawal kadar penggunaan katil di hospital yang kini terkawal.

“Saya tahu Dr Akmal (EXCO Kesihatan) dan Dr Rusdi (Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka) perlu kejar vaksin sebab kapasiti katil tidak besar. Jadi mereka tahu kalau tiada kadar vaksinasi yang tinggi mungkin keadaan akan jadi sesak.

“Dengan kadar vaksinasi juga Melaka dapat buka dengan begitu baik, sampaikan jalan kembali sesak seperti sebelum pandemik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1031
Kongsi :
Previous post Tindakan lebih tegas kepada pesalah cemari alam sekitar – PM
Next post MISDEC, Todak Academy jalin kerjasama martabat e-sukan
Ubah saiz-+=