Sorting by

×

MELAKA JEMPUT UITM SERTAI SUKARELAWAN WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

LENDU 16 Disember – Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjemput Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka untuk menjadi sebahagian sukarelawan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata perbincangan akan dilakukan bersama sekretariat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membolehkan penyertaan sukarelawan dalam kalangan pelajar UiTM Cawangan Melaka.

“Saya menjemput UiTM Cawangan Melaka menjadi sebahagian daripada sukarelawan bagi membantu dan melicinkan lagi WTD2025 dan WTC2025 akan berlangsung di Melaka September tahun hadapan.

“Jadi saya akan berbincang dengan sekretariat daripada MOTAC untuk melibatkan anak-anak muda ini boleh dapat bersama-sama menjayakan penganjuran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Tokoh Menteri Bersama Ketua Menteri Melaka di Dewan Taming Sari, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri; Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri; Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM; Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi.

Pada program tersebut, Ab Rauf meluangkan masa berkongsi aspirasinya sepanjang menjadi Ketua Menteri Melaka selain perkara membabitkan sejarah negara dan bangsa bersama kira-kira 1,500 pelajar UiTM Cawangan Melaka.

Selain itu Ketua Menteri turut mengingatkan golongan pelajar agar merungkai bagaimana untuk memastikan kesinambungan dan kestabilan negara dapat dikekalkan tanpa mengenepikan perpaduan yang dibina selama ini.

“Prasangka antara kaum mesti dihapuskan. Selepas zaman penjajah, kita ditinggalkan dalam pelbagai persepsi pada sudut prasangka terhadap sesama kaum.

“Generasi baharu perlu ambil satu sikap terbuka untuk mereka meniti masa hadapan dan supaya sikap prasangka ini tidak menghakiskan kestabilan dan keamanan yang ada,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post GEMPA BUMI LEMAH LANDA RANAU
Next post POLIS BURU LELAKI INDONESIA DISYAKI TERLIBAT KES BUNUH RAKAN SENEGARA
Ubah saiz-+=