Melaka jangka tiada catuan air pada gelombang kedua kemarau
BANDARAYA MELAKA 25 Jun – Melaka diyakini tidak berhadapan masalah catuan pada musim kemarau bermula Oktober ini ekoran kapasiti air di tiga empangnya melepasi paras normal.
Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Zaidi Attan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dan perancangan awal sejak 1 April lalu bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka berakhir Disember ini.
“Kita telah ambil tindakan awal antaranya memastikan empangan Durian Tunggal mencapai lebih 80 peratus, Empangan Jus lebih 50 peratus dan Empangan Asahan yang menjangkau 100 peratus.
“Dalam keadaan sekarang, Empangan Durian Tunggal mencecah 92.6 peratus, Empangan Jus 36.7 peratus dan kita perlukan 13.3 peratus lagi untuk capai paras normal.
“Jadi kita sedang ambil inisiatif pindahkan air dari Empangan Durian Tunggal ke Empangan Jus utk mempercepatkan proses pengumpulan air di empangan tersebut,” katanya kepada MHI di sini, hari ini.
Sehingga kini ujarnya, SAMB masih meneruskan pengepaman air dari Sungai Gersik, Muar ke Empangan Durian Tunggal setiap hari.
“Jika tiada perkara di luar jangka berlaku, kemarau pada Oktober ini yang dijangka berlarutan hingga tiga bulan, kita masih lagi berupaya untuk membekalkan air bersih kepada rakyat di negeri ini.
“Kita mempunyai dua loji utama iaitu Loji Daf 1 dan Loji Daf 2 yang menggunakan air daripada Empangan Durian Tunggal sebagai bekalan utama negeri ini, katanya.