Sorting by

×

MELAKA JADI PILIHAN JENAMA-JENAMA BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Melaka dijangka akan menjadi destinasi pilihan bagi syarikat atau jenama-jenama besar dalam dunia peruncitan pada tahun-tahun mendatang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menzahirkan keyakinan itu susulan kawasan tambakan laut di negeri ini yang merupakan antara kawasan zon ekonomi baharu Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) mula menjadi pilihan pelabur.

Jelas beliau, ia dapat dilihat apabila sebuah pasar raya premium yang terkenal di Malaysia membuat pelaburan kira-kira RM10 bilion bagi membangunkan outlet pertamanya di Negeri Melaka.

“Seperti kita lihat, kawasan tambakan laut di Klebang ini telah dibangunkan secara bersepadu, di mana selain rangkaian restoran makanan segera, kawasan ini juga telah dibangunkan gedung pakaian terkemuka dan selepas ini sebuah lagi jenama produk kelengkapan rumah terkemuka akan membuka perniagaan di kawasan ini.

“Dengan adanya kewujudan pusat perniagaan baharu seperti ini, ia dapat mencerminkan bahawa rakyat Melaka akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Pastinya, kita menjangkakan lebih banyak jenama-jenama besar akan masuk ke Melaka dan seterusnya menjadi pemangkin ekonomi baharu di sepanjang kawasan SMWEZ yang bakal dibangunkan secara terancang selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sebuah pasar raya premium baharu Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan keyakinan, Melaka akan terus menjadi destinasi pilihan pelabur dalam dan luar negara atas faktor kestabilan politik dan ekonomi yang masih dipertahankan.

Malah, beliau juga optimis, limpahan tersebut dapat dirasai rakyat menerusi peluang-peluang pekerjaan yang akan dibuka hasil daripada pelaburan yang masuk ke negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4321
Kongsi :
Previous post MELAKA RAI 9 BAYI MERDEKA
Next post SAMBUTAN MERDEKA MELAKA TAHUN DEPAN ADA KELAINAN
Ubah saiz-+=