MELAKA JADI NEGERI PERTAMA DIGITALKAN BECA
BANDA HILIR 2 Januari – Melaka bakal menjadi negeri pertama mendigitalkan perkhidmatan beca, sekali gus memberikan identiti khas kepada pengayuh beca.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, proses pendigitalan akan dilaksanakan tahun ini melibatkan seramai 260 beca berdaftar.
“Selepas ini semua beca akan mempunyai kod QR sendiri dan menjadikan Melaka negeri pertama yang mendigitalkan perkhidmatan beca.
“Kod QR berkenaan bertujuan menjamin keselamatan penumpang dan pengayuh beca itu sendiri,” kata Ketua Menteri ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pengayuh Beca Negeri Melaka Tahun 2025, di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Timbalan Exco serta Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Ab Rauf berkata, inisiatif berkenaan akan menjadikan pengurusan pengkhidmatan beca menjadi lebih sistematik dan mampu mengawal kehadiran beca haram.
“Seramai 260 pengayuh beca berjaya melepasi saringan untuk mendapatkan lesen dan dengan adanya sistem baharu ini kita dapat mencegah daripada kebanjiran beca haram.
“Malah Kerajaan Negeri memberi jaminan akan sentiasa melindungi kepentingan pengayuh beca, agar punca pendapat mereka terjamin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.