MELAKA JADI CONTOH NEGERI PRAKTIK NILAI PATRIOTISME
BANDARAYA MELAKA 21 Januari – Melaka terus menjadi contoh negeri yang mempraktikkan usaha ke arah memperkukuh perpaduan melalui nilai patriotisme.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara menjadi elemen penting dalam memupuk keharmonian dan perpaduan kaum.
Oleh itu katanya pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri komited terus memperkukuh elemen patriostime iaitu cintakan perpaduan negara khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kerajaan Negeri akan mengadakan pelbagai program dan acara seperti Program Pembangunan Pemimpin Pelapis, Townhall Mahasiswa di setiap IPT, Pidato Rukun Negara.
“Selain Kajian Penyelidik mengenai tokoh-tokoh dan Kelab Sahabat Patriotik Melaka serta banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Bersempena Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir memeriahkan majlis Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu Ab Rauf turut mengajak rakyat di negeri ini memperjuangkan prinsip di bawah Rukun Negara sebagai panduan untuk mencapai kecemerlangan.
“Menjadi impian besar kepada Kerajaan Negeri untuk memperkasa perpaduan rakyat sebagai benteng memperkukuh kemakmuran rakyat Malaysia khususnya Melaka yang mempunyai rakyat berbilang kaum,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.