MELAKA JADI BANDARAYA BUDAYA ASEAN
BANDA HILIR 24 Oktober – Melaka dipilih sebagai Bandaraya Budaya Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang mempamerkan sejarah, budaya, seni dan tradisi rantau ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Melaka dipilih sebagai tuan rumah Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 dan Mesyuarat ASEAN Plus Three (APT) Budaya dan Seni (AMCA+3) bagi memberi peluang kepada delegasi menikmati budaya serta sejarah yang ada sekitar negeri ini.
“Kerajaan Negeri Melaka menawarkan budaya dan pengalaman bersejarah yang menarik untuk semua. Sebagai bandar tuan rumah, Melaka akan menjalankan peranan sebagai Bandar Budaya ASEAN.
“Melaka juga merupakan Bandar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan pada masa sama Melaka akan menjadi tuan rumah bagi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
“Justeru, menerusi mesyuarat ini 10 negara anggota berkumpul untuk membangunkan hubungan strategik serantau, meningkatkan pemahaman silang budaya dan perpaduan dalam kalangan rakyat ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 dan Mesyuarat ASEAN Plus Three (APT) Budaya dan Seni (AMCA+3) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Dr. Kao Kim Hourn dan para delegasi negara ASEAN.
Mengulas lanjut, beliau juga berhasrat meneruskan kerjasama dengan Republik Demokratik Rakyat Laos (Lao PDR) dalam usaha mengekalkan seni serta budaya dalam tempoh dua tahun kehadapan.
“Justeru, menerusi mesyuarat AMCA ini, Malaysia telah memulakan beberapa projek kebudayaan pada tahun ini iaitu ‘Creative and Cultural Industries Programme: ASEAN & Beyond’, ASEAN Heritage Train’ dengan kerjasama Lao PDR dan Thailand.
“Turut dianjurkan persidangan mengenai cadangan inisiatif ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) yang dilaksanakan di Perlis baru-baru ini,” katanya.
Jelasnya bagi acara sampingan, Malaysia juga bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menganjurkan Forum Belia dan Warisan ASEAN bertemakan ‘Celebrating Roots and Reimagining the Future’.
“Diwakili semua Negara Anggota ASEAN dan Timor Leste, program ini berjalan serentak dengan mesyuarat kami pada hari ini. Pada hari ini juga kita ada rakan sekerja dari Republik Rakyat China (RRC), Jepun dan Republik Korea yang hadir bersama.
“Kita sangat hargai hubungan dan kerjasama ini yang memberikan keuntungan selain dapat berkongsi budaya dan seni yang diwujudkan melibatkan tiga negara ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.