Melaka iktiraf peranan atlet harumkan nama negeri
AYER KEROH 19 November – Kesungguhan atlet anak jati Melaka pada pelbagai kejohanan di pentas nasional atau antarabangsa amat dihargai oleh Kerajaan Negeri.
Pembabitan mereka secara aktif dalam sukan bukan sahaja membuktikan Melaka juga memiliki bakat besar, sebaliknya pada masa yang sama mengharumkan nama negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apa diharapkan adalah pengiktirafan yang diberikan terus menyuntik semangat dalam diri atlet untuk terus maju selain meletakkan sasaran meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Ab Rauf berkata, penganjuran Anugerah Sukan Negeri Melaka adalah medan bagi Kerajaan Negeri menghargai pengorbanan termasuk daripada segi masa dan penat lelah atlet yang berusaha keras demi melakarkan kejayaan untuk tanah tumpah kelahiran mereka.
“Ini juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa menghargai kejayaan yang dicapai oleh para atlet dan pegawai sukan. Semoga kejayaan ini menyuntik semangat, merangsang atlet muda dan pegawai sukan meneruskan cabaran di kejohanan-kejohanan lain pada masa hadapan.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong pembangunan belia dan sukan di Negeri Melaka melalui Flagship 8:Melaka Sejahtera (Belia dan Sukan) telah menggariskan satu strategi iaitu Memperkasa Pembangunan Belia dan Sukan untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya akan terus memberikan sokongan kepada penggerak sukan di Melaka kerana saya menaruhkan harapan yang besar agar industri sukan di Melaka akan terus memainkan peranan untuk membantu kita menjadi sebuah negeri yang berdaya saing daripada segi sosio-ekonomi setanding negara maju yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Kali ke-38 Tahun 2021/2022 diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Penganugerahan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.
Penganugerahan membabitkan sembilan kategori yang antaranya Anugerah Olehragawan dan Olahragawati Melaka 2021/2022 selain Anugerah Olehragawan serta Olahragawati Harapan 2021/2022.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.