Melaka ikat penyerang Montenegro, Stefan Nikolic

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) membawa masuk dua pemain tempatan dan seorang pemain import bagi memperkuatkan pasukan itu memburu kedudukan terbaik dalam Liga Super akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) berkata, beliau tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi pada musim itu, namun akan memperbaiki pencapaian pada musim lalu.

“Hari ini berlangsung upacara menandatangani kontrak seorang lagi pemain import baharu yang juga import terakhir pasukan Melaka United sebelum saingan Liga Malaysia 2021 membuka tirai pada 5 Mac depan.

“Pemain ini ialah Stefan Nikolic berusia 30 tahun berasal dari Montenegro yang bakal beraksi di posisi serangan Melaka United FC musim ini.

“Manakala dua pemain tempatan baharu ialah pemain pertahanan berpengalaman yang juga bekas Kapten Kedah berusia 32 tahun, Khairul Helmi Johari dan pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria berusia 29 tahun dari Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Pemain Baharu MUFC di Seri Negeri di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, dengan pengalaman luas dimiliki kedua-dua pemain itu dalam Liga Malaysia dengan gabungan pemain import serta pemain sedia ada, skuad Hang Tuah mampu memberi cabaran kepada pasukan lain.

“Ini termasuklah cabaran dalam Liga Malaysia musim ini sama ada dalam saingan Liga Super mahupun Piala Malaysia,” katanya.

Untuk rekod Stefan Nikolic berhijrah dari kelab Bosnia Herzegovina, Krupa berpengalaman beraksi bersama banyak kelab di sekitar negara Balkan dan Eropah seperti Serbia, Romania, Rusia, Poland, Croatia dan Bosnia.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah membarisi Skuad Kebangsaan Montenegro di peringkat bawah 19 dan 21 tahun dan MUFC menjadi kelab pertama pemain ini dalam Liga Malaysia dan Asia Tenggara.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Kerajaan tubuh CITF, urus Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
Next post Transformasi pengurusan demi capai kecemerlangan pendidikan
Ubah saiz-+=