
MELAKA ‘HIDUPKAN’ KEMBALI SUKAN POLO AIR
PAYA RUMPUT 16 April – Melaka yakin akan kembali melakar kegemilangan menerusi sukan polo air pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, tahun depan.
Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam berkata, Melaka pernah menjuarai sukan polo air pada SUKMA ke-14 di Kuala Lumpur dan kini sedang kembali membentuk pasukan.
Katanya, kali terakhir Melaka menyertai sukan polo air adalah pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.
“Kita akan bentuk satu pasukan khas untuk melatih atlet-atlet muda bagi membolehkan Melaka kembali mewarnai sukan air ini.
“Kita pernah menjadi juara suatu ketika dahulu apabila kategori lelaki berjaya memenangi emas pada SUKMA Ke-14 tetapi ia dilakar enam tahun lalu.
“Kini kita mahu mengembalikan semula kegemilangan dan membentuk kembali pasukan dengan lebih bersedia untuk beraksi pada SUKMA 2026 nanti,” katanya.
Terdahulu Shanmugam merasmikan Kejohanan Sukan Akuatik Majlis Sukan Negeri Melaka 2025 di Pusat Akuatik Hang Jebat Krubong, di sini, semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih banyak penglibatan dari sekolah seluruh negeri ini bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan sekali gus melahirkan atlet sukan polo air terbaik.
“Kolej Yayasan Saad (KYS) antara yang awal tampil menghantar penyertaan pelajar, justeru kita harap akan ada lebih banyak sekolah akan turut serta bagi membolehkan pasukan dibentuk sekaligus mempunyai pelapis.
“Kita sudah ada kemudahan namun sekarang fokus tertumpu untuk mengenal pasti atlet dan melatih bakat baharu dalam sukan polo air serta disiplin akuatik lain,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri memberi perhatian akan kemudahan sukan itu serta akan membaik pulih kemudahan bagi memastikan kontinjen akuatik Melaka mampu meraih lebih banyak pingat berbanding edisi lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.