
Melaka Heritage Festival 2022 meriah!
BANDA HILIR 14 Ogos – Lebih 2,000 pengunjung membanjiri Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir bagi menyaksikan Melaka Heritage Parade sempena Melaka Heritage Festival 2022, malam ini.
Majlis yang diadakan bersempena Sambutan Ulangtahun Ke-14 Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO) 2022 itu telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama mengiringi Tun Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari yang mewakili Ketua Menteri; Duta Mexico Edmund Font Lopes dan Duta Timor Leste, Joanna Veneranda Amaral.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.
Sambutan Melaka Heritage Parade 2022 itu bukan hanya dihadiri warga Melaka malah kumpulan pelancong asing turut serta menyaksikan festival yang menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan dan warisan Melaka.

Antara yang dipersembahkan ialah tarian tradisional dan pertunjukkan seni pertahan diri yang menggabungkan silat, wushu serta silambam yang memukau pengunjung yang hadir.

Untuk rekod, Melaka telah diiktiraf Bandaraya Warisan Dunia sejak Julai 2008 oleh World Heritage Committee pada Persidangan ke-32 di Quebec, Kanada.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.