Sorting by

×

Melaka hasrat terbit buku pantun dalam tiga bahasa

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 24 Dis – Seni budaya dan warisan negeri akan terus dimartabatkan dengan penerbitan buku pantun dalam tiga bahasa berbeza.

EXCO Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, langkah menerbitkan seni warisan itu dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin dipercayai mampu mempromosikan budaya negeri ini agar mudah difahami pelancong yang berkunjung ke Melaka.

Jelasnya, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan Yayasan Hasanah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menerbitkan cetakan warisan negeri yang telah menerima pengiktirafan UNESCO pada tahun lalu itu.

“Dalam hal ini saya tengok setakat ini hari pantun ini berada diperingkat ‘regional’ jadi kalaulah kita mendapat dorongan dari DBP dan Yayasan Hasanah, kita kena ada satu projek perintis dalam tempoh pasca COVID-19 ini untuk terbitkan buku pantun dalam tiga bahasa berbeza.

“Ia diterbitkan dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, diikuti Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Kenapa Mandarin? Ini adalah kerana kadar pelancongan nombor satu di Melaka ini adalah daripada China.

“Saya yakin seni budaya pantun ini penjalin hubungan silaturahim dan jika kita mengimarahkan pantun ini ianya boleh menjadi satu katalis atau elemen yang meningkatkan lagi salah satu prinsip rukun negara kita iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Majlis Pentas Kemuncak Sanggar Berbalas Pantun dan Pelancaran Buku Pantun Warisan Merentas Zaman di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias, Ketua Seni Warisan dan Ruang Awam Yayasan Hasanah Zainariah Johari dan Ketua Satu Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) Zauawi Che Cob.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penerbitan buku pantun itu merupakan langkah utama bagi mengekal dan mempromosikan budaya warisan yang terdapat di negeri ini.

Malah katanya, pelbagai pendekatan lain akan diambil kerajaan negeri bagi mengekalkan pelbagai warisan di Melaka termasuk menggunakan pendekatan secara dalam talian sebagai medium mendekati generasi muda.

“Kita akan aturkan pelbagai langkah lain bagi mempromosikan warisan ini termasuklah usaha dalam sektor pelancongan negeri dimana kita akan mengadakan kempen pertukaran sektor pelancongan bersama negeri lain bagi mempergiatkan pelancongan domestik antara negeri mulai Januari depan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1670
Kongsi :
Previous post Korban banjir kini 41 orang, lapan masih hilang
Next post Pembukaan sekolah dilewatkan seminggu – Radzi
Ubah saiz-+=