
MELAKA HARGAI JASA AGENSI MEDIA JAYAKAN TMM2024
TABOH NANING 1 Mac – Kerajaan Negeri menghargai sumbangan dan jasa agensi media yang menjadi antara tunjang kejayaan Melaka capai sasaran 15.03 juta pelancong pada kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, agensi media merupakan antara entiti yang memainkan peranan penting dalam kejayaan TMM2024.
“Tidak lupa penghargaan buat agensi-agensi media yang memainkan peranan penting mempromosikan TMM2024.
“Antaranya rakan media strategik iaitu Media Prima Berhad, Melaka Hari Ini, Bernama, China Press, Oriental Daily, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily, New Straits Times, The Star, Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Harian Metro, Malaysia Gazette dan tidak lupa kepada media Jabatan Ketua Menteri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan TMM2024 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Lebih 400 jemputan yang mewakili pemain industri pelancongan, agensi kerajaan serta media dan pihak swasta hadir memeriahkan majlis tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut menyatakan penghargaan kepada setiap agensi serta jabatan terlibat yang turut menyumbang kepada kejayaan TMM2024.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan kerana berjaya memastikan Melaka capai sasaran 15.03 juta pelancong.
“Apa yang mustahak, kejayaan TMM2024 ini adalah hasil usaha keras dari semua pihak yang bertungkus lumus memastikan ia dapat dicapai,” ujarnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.