Sorting by

×

Melaka harap atlet negeri mampu menyinar di Sukan Olimpik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 27 April. – Kerajaan negeri mengharapkan atlet negeri dapat beraksi di pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, meskipun setakat ini tiada atlet Melaka yang layak mewakili negara ke temasya sukan antarabangsa itu, namun beliau yakin program akar umbi pembangunan sukan mampu melahirkan atlet bertaraf dunia suatu hari nanti.

Katanya, difahamkan proses kelayakan sukan itu masih berjalan, namun beliau secara peribadinya mengharapkan atlet negeri ini mampu mewakili negara ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang dijadualkan pada Julai ini.

“Meskipun kita belum layak untuk mewakili negara dalam sukan yang disenaraikan dalam temasya sukan antarabangsa itu, insya-Allah dalam masa akan datang kita akan pastikan Melaka menghantar wakil dalam apa jua jenis sukan,” katanya.

SULAIMAN dan Ahmad Shapawi (kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika pelepasan Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 di pekarangan Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Pelepasan Jelajah Sokongan Road To Tokyo 2020 di pekarangan Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mengenai program berkenaan, Sulaiman berkata Melaka menjadi negeri kedua selepas Johor memberikan sokongan terhadap atlet kontinjen negara yang akan membawa cabaran Malaysia ke sukan berprestij itu.

“Kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada seluruh kontinjen atlet negara dan mengharapkan mereka membawa pulang kemenangan terutama meraih emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.

“Bagaimanapun, tidak kira apa jua pingat, kemenangan itu mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet di negara,” katanya.

Program jelajah bermula dari Pekarangan Blok Bendahari, Kompleks Seri Negeri sebelum ke Pasaraya Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Lotus’s Melaka di Cheng dan akan berakhir di bazar Ramadan di Krubong, Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Mohon kepada CITF jika mahu dapatkan vaksin COVID-19 awal
Next post Melaka sambut baik cadangan hab fesyen
Ubah saiz-+=