Sorting by

×

MELAKA HALAL HUB TARIK PELABURAN RM162 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Melaka Halal Hub berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM40 juta dan pelaburan langsung domestik (DDI) RM122 juta, sekali gus menjadi simbol kejayaan Kerajaan Melaka dalam pembangunan industri halal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, buat masa ini, terdapat 130 kilang beroperasi di Melaka Halal Hub termasuk 92 daripadanya merupakan perusahaan industri Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME).

“Melaka Halal Hub yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Melaka (MCORP) merupakan hasil evolusi Kerajaan Negeri mewujudkan kawasan hab khusus untuk perniagaan industri halal.

“Malah, Melaka Halal Hub berjaya menarik banyak syarikat pembuatan halal dengan menyaksikan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM40 juta dan pelaburan langsung domestik (DDI) RM122 juta, sekali gus menawarkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis World Halal Excellence Awards 2023 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun.

Ketua Menteri turut menzahirkan keyakinan Melaka akan terus menjadi destinasi pilihan pengembara Muslim berdasarkan imej negeri Hang Tuah yang kian meningkat dari segi perkhidmatan hospitaliti mesra muslim.

“Perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan Melaka adalah mesra muslim yang mana imej kami (Melaka) kian meningkat dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pengembara muslim.

“Selain itu, kulinari Melaka turut menarik perhatian pelancong dari serata dunia dan kebanyakan mereka mencari makanan yang unik serta mempunyai persijilan halal,” katanya.

Pada majlis tersebut, Negeri Melaka menerima anugerah ‘Halal State Performance Excellence Award’ yang disampaikan sendiri Tengku Zafrul kepada Ab Rauf.

Sebanyak 30 syarikat termasuk individu perseorangan telah menerima pelbagai jenis anugerah melibatkan industri halal, selain menyaksikan anugerah ‘Halal Leadership Excellence Award’ diterima Penyelaras Hal Ehwal Halal, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

257
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR PERSIDANGAN EKONOMI MARITIM, 4 DAN 5 NOVEMBER INI
Next post ASEAN 2025: INDUSTRI PELANCONGAN TEMPATAN DIGESA REBUT PELUANG
Ubah saiz-+=