Melaka Halal Hub perkenal aplikasi dalam talian
AYER KEROH 5 Julai – Melaka Halal Hub terus mengorak langkah melakukan perubahan apabila menjadikan aplikasi dalam talian sebagai platform untuk mempromosi dan mengembangkan lagi perniagaan yang ditawarkan.
Pengurus Besarnya Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, jalinan kerjasama itu dibuat pihaknya bersama sebuah syarikat milik penuh Bumiputera yang membangunkan servis Aplikasi Gaya Hidup dibawah jenama Moevd dikenali sebagai platform Moevd Halmart.
“Menerusi perkhidmatan yang terdapat di aplikasi ini, usahawan yang berdaftar boleh menawarkan pelbagai produk halal mereka kepada pelanggan Moevd secara dalam talian. Malah jika ada usahawan yang berminat untuk mendapatkan sijil halal, Moevd juga boleh menghubungkan kepada pihak Halal Development Corporation (HDC).
“Platform Moevd Halmart ini juga adalah antara usaha Melaka Halal Hub untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan bersama-sama dengan usahawan selain dengan ini penggunaan platform ini juga usahawan dapat mempromosi sekali gus mengembangkan lagi rangkaian perniagaan mereka,” katanya.
Menurutnya, selain daripada perniagaan produk halal, aplikasi Moevd juga menawarkan beberapa perkhidmatan lain, antaranya e-hailing, pakej umrah, penghantaran makanan dan bungkusan serta pembaharuan insurans motor.
“Untuk itu satu sesi taklimat sudah dilakukan baru-baru ini bagi memperkenalkan aplikasi ini secara meluas kepada usahawan yang berminat dan seramai 50 usahawan akan besama-sama untuk menjana ekonomi dengan platform ini.
“Malah mereka turut diberitahu menerusi aplikasi ini juga bukan sahaja kempen dibuat secara lebih agresif malah capaian pasaran pengguna juga akan dilakukan dengan meluas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.