Melaka hadiahkan pantun terbaik ke Wilayah Guanxi
BANDA HILIR 13 Disember – Melaka bakal persembahkan pantun terbaik hasil daripada pertandingan Satu Daerah Satu Pantun untuk dipamerkan di Wilayah Autonomi Guangxi, selatan China.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pantun terbaik itu akan diserahkan dan dipamerkan di Fakulti Bahasa Melayu di sebuah universiti wilayah terbabit.
Katanya, langkah itu dilakukan sebagai tanda pertukaran budaya antara dua negara, Malaysia dan China.
“Bagi mencari pantun terbaik, Pertandingan Satu Daerah Satu Pantun akan diadakan selepas selesai Pertandingan Satu Kampung Satu Pantun. Di Melaka ada tiga daerah, kita akan pilih yang terbaik.
“Dalam kunjungan saya ke China baru-baru ini, saya dapati di Wilayah Guangxi terdapat sebuah universiti yang mempunyai Fakulti Bahasa Melayu, di situ kita boleh bertukar budaya.
“Yang pasti saya akan bawa satu pantun yang terbaik dalam tiga daerah ini untuk dipersembahkan kepada China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Makan Malam Bersama Warga Pendidik Negeri Melaka di sebuah hotel di sini malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memaklumkan pada majlis pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Wilayah Guangxi berbesar hati menghantar kumpulan seni budaya negara itu.
“Wilayah Guangxi juga bersetuju akan hantar dua kmpulan seni budayanya untuk bersama-sama meraikan (membuat persembahan) TMM2024 bersama Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.