MELAKA HAB EKONOMI DINAMIK 2025
AYER KEROH 13 Januari – Melaka mengekalkan sasaran unjuran nilai pelaburan RM5 bilion pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, unjuran itu turut menyasarkan lebih banyak pelabur asing masuk ke Melaka sekali gus meletakkan Melaka sebagai destinasi tumpuan pelabur.
“Justeru, saya mahu semua agensi dan anak syarikat dibantu oleh Invest Melaka dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) Melaka untuk mempergiat lagi promosi peluang pelaburan di negeri ini.
“Ia bagi memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab ekonomi yang dinamik di peringkat nasional dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Jelas Ketua Menteri, setakat September tahun lalu, nilai pelaburan yang direkodkan negeri ini cukup memberangsangkan apabila sudah mencecah RM5 bilion, seperti mana yang disasarkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.