Sorting by

×

MELAKA-GUANGXI JALIN KERJASAMA PELANCONGAN, PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN INDUSTRI

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April – Kerjasama dalam pelancongan, pendidikan dan pembangunan industri akan diberi tumpuan dalam memperkukuh kerjasama di antara Kerajaan Negeri Melaka dengan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hubungan di antara Melaka dan China telah bermula sejak abad ke-15, iaitu dengan kedatangan Laksamana Zheng He yang berperanan penting dalam membina hubungan kepercayaan, perdagangan, dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, legasi itu akhirnya terus mempengaruhi dan membentuk ikatan yang kukuh antara wilayah dan negeri ini sehinggakan negeri ini telah menjadi tumpuan pelancong dari negara Republik itu dengan lebih 664,000 pelancong telah direkodkan tahun lalu.

Jelas beliau, ia merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding 204,000 pelancong dari negara berkenaan pada tahun 2023.

Ketua Menteri turut berterima kasih kepada Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Yang Terutama Lan Tianli bersama delegasi terhormat dari Republik Rakyat China yang telah mengadakan lawatan dalam usaha memperkukuhkan hubungan dengan negeri bersejarah ini.

“Lawatan ini bukan hanya bersifat seremonial, tetapi ia adalah satu penegasan semula terhadap persahabatan yang telah lama terjalin dan langkah penting untuk meneroka potensi kerjasama antara Melaka dan Guangxi.

“Sejarah bersama dan aspirasi masa depan kita akan terus menjadi panduan dalam meneroka peluang dalam bidang pelancongan, pendidikan, dan pembangunan industri,” kata beliau dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut mengalu-alukan pengukuhan hubungan pendidikan dengan menandatangani Surat Niat di antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan Universiti Minzu Guangxi, selain turut dilancarkan Perikatan Industri-Pendidikan TVET China-Malaysia.

Beliau turut meraikan pencapaian Kolej Komuniti Masjid Tanah yang meraih Anugerah Perak di WorldSkills TVET College China International Institution 2024.

“Dalam bidang pelaburan dan pembangunan industri, Melaka terus komited untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperluaskan taman perindustrian strategik seperti Taman Hi-Tech MCORP, Taman Teknologi Jerman dan Taman Perindustrian Elkay 2.0 yang bertujuan mewujudkan
ribuan peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan mampan.

“Pada masa sama, harapan tinggi turut dizahirkan terhadap perjanjian kerjasama Kecerdasan Buatan (AI) antara Guangxi dan Kerajaan Malaysia, dengan harapan Melaka dapat menjadi tapak pelancaran inisiatif transformasi ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1045
Kongsi :
Previous post MELAKA BERHASRAT JADI TAPAK PELANCARAN INISIATIF AI GUANGXI-MALAYSIA
Next post 11 AGENSI AGAMA MELAKA BERGABUNG JAYAKAN SAMBUTAN HARI RAYA 24 APRIL INI