Melaka gelanggang Kejuaraan Silat Dunia 2024

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TABOH NANING 10 Disember – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) sekali lagi memilih Melaka sebagai tuan rumah Kejuaraan Silat Dunia yang bakal dianjurkan pada tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah adalah berdasarkan kepada sambutan amat memberansangkan pada kejuaraan tahun lalu.

Menurutnya, negeri yang kaya dengan sejarah, warisan selain wilayah terkenal dengan lagenda kepahlawanan khususnya dalam seni mempertahankan diri silat juga menjadi kelebihan buat Melaka untuk sekali lagi dipilih sebagai gelanggang kejuaraaan bertaraf antarabangsa itu.

“Kejohanan yang dianjurkan pada 2022 telah mencipta sejarah dan kali ini menerusi Kongres yang diadakan di Dubai pada 7 November lalu kebanyakan negara meminta Malaysia untuk sekali lagi menjadi tuan rumah dan diadakan di Melaka.

“Jadi saya telah menerima permohonan itu dan dibawa pada peringkat mesyuarat exco PESAKA pada Ahad lepas. Kita telah adakan perbincangan dan penganjuran ini diletakkan dalam takwim 2024 untuk menganjurkan satu program berskala besar di Melaka.

“Pemilihan Melaka ini adalah untuk ambil semangat daripada kejayaan penganjuran Kejuaraan Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebelum ini. Sejarah yang terlakar masih kekal di ingatan kita sebagai satu kejuaraan yang luar biasa ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Ke-44 di A’ Famosa Resort, di sini, hari ini.

Hadir, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, kejuaraan itu disasar akan dianjurkan pada pertengahan 2024, sekali gus mampu merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelasnya, kelemahan yang dikenal pasti sepanjang penganjuran lalu akan dibaiki agar kejuaraan itu mencapai taraf dunia lebih-lebih lagi ilmu persilatan kini berjaya dikembangkan ke beberapa negara lain.

“Kita bercadang untuk anjurkan sekitar Jun hingga Ogos dan akan melihat semula takwim peringkat antarabangsa agar tidak ada pertindihan dengan kejuaraan-kejuaraan lain.

“Kali ini kita yakin akan menerima lebih banyak penyertaan dari pelbagai negara kerana sudah ada yang bersedia untuk menyertainya.

“Saya bersyukur kerana hasil kongres yang diadakan sebelum ini kita menerima banyak penyertaan dari negara baharu seperti dari Asia Tengah, Asia Barat, Iran dan Yaman. Semua ini merupakan satu penanda aras yang positif menandakan ilmu persilatan ini semakin berkembang di dunia ini,” katanya.

Ends//

PRESIDEN Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2461
Kongsi :
Previous post Kes Zayn Rayyan: Polis ambil 228 DNA penduduk Apertment Idaman
Next post Naik taraf empat klinik kesihatan DUN Asahan selesai
Ubah saiz-+=