Melaka Gateway bakal jadi ‘pintu’ pelaburan Asia

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

DUBAI 16 Mac – Projek Melaka Gateway yang akan diteruskan di tapak Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dilihat bakal menjadi ‘pintu’ pelaburan Asia yang bakal memangkin pertumbuhan ekonomi Melaka.

Pemaju utama projek berkenaan, KAJ Development Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, projek yang akan dibangunkan itu juga bakal menjadi pemangkin perniagaan-perniagaan baharu selain berupaya menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi serantau.

Jelas kenyataan itu, projek bernilai multibilion Ringgit itu juga bakal melibatkan pembangunan bersepadu bertaraf dunia dengan menarik kemasukan pelabur asing.

“Ia juga menawarkan pelbagai bentuk peluang kerjasama yang akan menyaksikan impak ekonomi yang besar bukan sahaja terhadap Melaka bahkan negara dan juga rantau ini,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut KAJ Development berkata, projek berskala mega itu dijangka menarik pelaburan sebanyak lebih RM46 bilion, selain menyumbang lebih daripada RM125 bilion kepada Pertumbuhan Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM1.2 trilion.

Malah, untuk pembangunan Pulau 1 (PME1) di Projek Melaka Gateway sahaja, ia berupaya menyumbang lebih daripada RM32.5 bilion kepada KDNK Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM306.73 bilion.

Semalam, KAJ Development telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan bertukar dokumen perjanjian (MoA) dengan dua pelabur bagi pembangunan PME1 dalam majlis yang berlangsung di Pavilion Malaysia bersempena Ekspo 2020 Dubai, di sini.

MoU dengan Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai (DIEZ) ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif KAJ Development Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman bersama Dr Mohammed Al Zarooni selaku Pengerusi Eksekutif DIEZ.

Ia membabitkan kerjasama dalam pelaburan dan operasi Zon Bebas Cukai di PME1 yang turut dicadangkan akan menukar Melaka Gateway menjadi hab perniagaan antarabangsa terulung.

Selain MoU, pertukaran dua dokumen perjanjian MoA bagi pembangunan di PME1 Projek Melaka Gateway turut berlangsung dalam majlis sama.

Pertukaran dokumen pertama adalah bagi pembangunan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa Melaka (MICT), melibatkan antara syarikat yang dilantik oleh KAJ Development, MG Velocity Sdn Bhd dengan X Infinity Property Sdn Bhd serta Total Group Berhad.

Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion, MICT yang dijangka siap pada 2025 akan menyediakan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Bebas Cukai, hotel mewah serta ruang perniagaan.

Manakala pertukaran dokumen kedua adalah membabitkan pembinaan sebuah taman tema moden bertaraf dunia yang dijangka siap pada 2026.

Projek itu dimeterai antara KAJ Development Assetwall Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.

Kesemua majlis MoU dan MoA itu telah disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama EXCO Kanan Pelaburan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2636
Kongsi :
Previous post Sulaiman mahu erat hubungan Melaka-Johor di bawah kepimpinan MB baharu
Next post MBMB anjur kejohanan e-sukan sempena ulang tahun ke-19
Ubah saiz-+=