Melaka fokus perkasa B40, wanita – Exco
KUALA SUNGAI BARU 1 Nov – Pelbagai pendekatan akan diambil dalam memperkasa B40 serta golongan wanita di negeri ini, kata Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Wira Latipah Omar.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk menjalankan pelbagai program seumpamanya dalam membantu golongan itu keluar dari garis kemiskinan serta membangunkan ekonomi di kawasan luar bandar.
“Sebenarnya banyak lagi benda yang kita nak buat dalam program yang mendekati golongan B40 bagi meningkatkan ekonomi dalam kalangan wanita supaya dapat membantu mereka menjana pendapatan dan mempertingkatkan ekonomi mereka.
“Inilah yang patut wanita rebut untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dalam keadaan serba tidak menentu sekarang.
“Lagipun ia juga merupakan antara hasrat kerajaan sehingga menyaksikan banyak peruntukan diberikan kepada golongan B40 dan wanita itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pembantu Perawat Kesihatan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), di sini.
Seramai 20 peserta telah menyertai kursus selama tiga minggu itu yang bertujuan melahirkan peserta berkemahiran terhadap asas penjagaan kesihatan demi kebaikan masyarakat setempat.
Kursus dengan kos sebanyak RM800 seorang diberikan percuma kepada orang ramai itu telah ditaja Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Dalam pada itu, mengulas mengenai Bajet 2022, yang dibentangkan 29 Okt lalu, Latipah menyifatkannya sebagai bajet yang menyeluruh kerana bukan sahaja mengetengahkan konsep keluarga Malaysia memandangkan ia meliputi kehendak semua kaum di negara ini.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan khususnya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap nasib rakyat yang rata-ratanya terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda.
“Saya melihat bajet yang dibentangkan begitu membanggakan kerana perbelanjaan ini diumumkan ini bersifat secara menyeluruh.
“Ia meliputi semua kaum, semua peringkat golongan usia dari warga warga emas orang kelainan upaya (OKU) dan orang muda.
“Kita harap bajet ini merupakan inisiatif terbaik harap kerajaan mempraktikkannya sehingga tahun-tahun yang akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.