Melaka fokus capai KPI 100 peratus tahun 2024 – KM
AYER KEROH 12 Januari – Kerajaan Negeri menetapkan sasaran pencapaian 100 peratus dalam petunjuk prestasi utama (KPI) sepanjang tahun 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu ditetapkan menerusi Mesyuarat Petunjuk Prestasi Utama Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri pada 4 Disember lalu yang turut memberi fokus kepada kepimpinan digital.
Ketua Menteri percaya, sasaran itu mampu direalisasikan selepas semua penjawat awam Negeri Melaka berjaya menunjukkan kecemerlangan, dedikasi dan komitmen sepanjang tahun lalu sehingga mencapai KPI 98 peratus.
“Justeru, berkait dengan ini, saya juga mahu Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Negeri Melaka turut berada di haluan yang sama dengan Kerajaan Negeri.
“Di peringkat Negeri, ketua perkhidmatan tuan-tuan dan puan-puan adalah YB Setiausaha Kerajaan Negeri. Maka, berikan kerjasama sepenuhnya terutama yang melibatkan dasar-dasar semasa Kerajaan Negeri.
“Saya berharap semua jabatan dan agensi persekutuan di negeri ini dapat membawa mandat negeri ke peringkat persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut berharap ‘pelayaran’ Tahun 2024 mendapat komitmen penuh daripada semua pihak dalam memastikan kesemua inisiatif dan touch-point yang telah
dibentangkan oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan yang telah diluluskan, dapat
dilaksanakan dengan pantas (speed) dan sempurna (quality).
“Dua aspek ini, kepantasan dan kesempurnaan perlu sentiasa dititikberatkan. Saya tidak mahu Kerajaan Negeri telah mengumumkan pelbagai inisiatif yang melibatkan peruntukan kewangan yang besar untuk rakyat tetapi akhirnya rakyat yang menjadi pelanggan utama kita tidak menikmati dan merasai inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan itu.
“Jika ini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan prestasi jabatan atau agensi yang terlibat kerana gagal melaksanakan apa yang dirancang, tetapi akhirnya turut memberikan persepsi tidak baik kepada imej dan prestasi Kerajaan Negeri secara keseluruhan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.