![Whatsapp Image 2024 10 14 At 11.43.05 Am](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2024/10/WhatsApp-Image-2024-10-14-at-11.43.05-AM.jpeg?v=1728879246)
MELAKA FATWA GISBH SESAT
AYER KEROH 14 Oktober – Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bertentangan dengan hukum syarak serta tersasar daripada ajaran Islam yang sebenar.
Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung pada 3 Oktober lalu.
“Kita telah memutuskan iaitu apa yang dibawa oleh kumpulan GISBH ini adalah bertentangan dengan hukum syarak dan kita sedang dalam proses untuk tindakan selanjutnya.
“Ya (GISBH) tersasar daripada ajaran Islam yang sebenar dan daripada Manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah selain kita melihat ada beberapa perkara dalam GISBH ini ada persamaan dengan ciri-ciri dipegang oleh pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa’.
“Ada juga serpihan khususnya daripada keluarga Allahyarham Ashaari Muhammad yang mempunyai kefahaman, amalan dan wirid yang mana mereka menjenamakan semula,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Menurut Abdul Halim, mesyuarat yang dijalankan itu bersetuju untuk menfatwakan GISBH sebagai ajaran sesat dan perkara itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk perkenan.
“Kita sudah putuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan telah bersetuju cuma prosesnya daripada sudut pentadbiran untuk mendapat pengesahan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) seterusnya diangkat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“GISBH adalah satu perkara baru dan Insya-Allah akan diwartakan dalam tempoh terdekat ini. Kelak ia akan menjadi garis panduan buat penguatkuasaan dalam mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Setakat ini, tiga negeri iaitu Perlis, Selangor dan Pahang telah mengisytiharkan amalan dan ajaran GISBH sebagai sesat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.