Sorting by

×

Melaka ‘duta’ promosi nanas

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 11 Ogos – Negeri Melaka memainkan peranan penting dalam membantu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mempromosikan buah-buahan itu hingga ke luar negara.

Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, meskipun Melaka sebuah negeri yang kecil dan tanaman nanasnya tidak sehebat Sarawak dan Johor, namun negeri pelancongan itu memainkan peranan penting sebagai duta tidak rasmi untuk mempromosikan buah-buahan itu.

“Untuk tanaman nanas ini setiap negeri ada kekuatan berbeza seperti Sarawak, mereka bercadang untuk membuka lagi 20 hektar tetapi Melaka tidak mampu lakukan itu tetapi saya katakan kita akan fokus kepada agropelancongan.

“Walaupun kecil, Melaka memainkan peranan penting dalam mempromosikan nanas kerana negeri ini menjadi pusat tumpuan pelancong dan sekali gus berfungsi sebagai duta tidak rasmi.

“Apabila pelancong ke negeri ini merasai kelazatan nanas, mereka akan membawa cerita dan pengalaman meraka tentang kelazatan nanas Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Hari Nanas Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2024, yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh di Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurutnya, LPNM juga akan menjadikan Melaka sebagai hab pengumpulan nanas bagi zon tengah dalam usaha menyumbang kepada industri nanas.

“Pada April lalu kita telah pun membuka Pusat Pengumpulan Nanas di Pusat Koreksional Jasin dan hab itu nanti akan mengumpulkan hasil tanaman dari Selangor, Negeri Sembilan serta Melaka.

“Ini kekuatan yang boleh dimainkan oleh Melaka dalam industri nanas di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, dengan sambutan yang menggalakkan LPNM berhasrat menjadikan nanas sebagai buah kebangsaan dan simbol kebanggaan negara menjelang 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post Agropelancongan nanas di Melaka
Next post Rezeki orang Terengganu menang RM10,000 di Melaka
Ubah saiz-+=