Melaka dijangka beralih Fasa 2 hujung bulan ini
AYER MOLEK 10 Ogos – Melaka dijangka boleh beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir bulan ini.
Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan berlaku perubahan pada nilai ambang yang tidak lagi berpandukan jumlah kes harian, sebaliknya berdasarkan kes kemasukan ke hospital bagi pesakit kategori 3, 4 dan 5.
Jelasnya, setakat ini Melaka sudah menepati kriteria itu apabila merekodkan purata di bawah paras 12.2 kes kemasukan ke hospital bagi 100,000 penduduk dalam tempoh seminggu.
“Untuk seminggu, Melaka sehingga semalam kita punya rating ialah sekitar 6.1 kes dan ini bermakna kita layak untuk ke Fasa 2.
“Contohnya, semalam, dalam 360 kes yang direkodkan, kita hanya ada 11 kes pesakit kategori 3 atau bersamaan 3.1 peratus, tiada pesakit kategori 4 dan hanya dua pesakit kategori 5 (0.5 peratus).
“Cumanya, ada satu syarat masih belum kita lepasi iaitu peratusan penerima vaksin lengkap sebanyak 50 peratus,” katanya kepada pemberita dalam lawatan ke kebun ubi di Bukit Nibong, di sini, hari ini.
Rahmad berkata, setakat ini, Melaka telah mencapai 35.3 peratus penduduk lengkap divaksinasi, manakala bagi dos 1 pula sudah mencapai 62.6 peratus.
“Maknanya, kita hanya perlukan sekitar 15 peratus lagi untuk mencapai nilai ambang dan beralih ke fasa kedua.
“Insya-Allah, ia akan tercapai selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.